Friday, June 22, 2012

Jiwa Yang Berlari

Debaran untuk melihat Kaabah secara nyata sukar disembunyikan dari wajah setiap jemaah. Sebaik melangkah ke dalam masjid, mata terus mencari-cari Kaabah. Suara muttawif hampir tidak kedengaran dan tidak diendahkan apabila mata terkunci di hujung laluan. Belum sempat merenung, tubuh menjadi ringan bagai mula terapung dan jiwaku berlari mendahului mendakap syiar-Nya.

Rasa ini mengalahkan rasa cinta pandang pertama. Rasa ini bagai terbang diawangan namun terpimpin tunduk dalam pasrah. Dengungan suara itu, gelombang bisikan itu, auranya menyelimuti tubuh dan menarikku. Akhirnya aku di sini. Alhamdulillah. Hampir tidak percaya namun hakikat sudah berada di hadapan mata. Nikmat rasa yang tidak dapat dihuraikan. Bukan pada Kaabah secara fizikalnya tapi pada pimpinan-Nya, panggilan kasih-sayang-Nya, rahmat-Nya.....

Seperti kata seorang ustaz, "Kiblat yang zahir ialah Kaabah. Kiblat yang hakikat adalah ke-esaan Allah"

Dan jiwaku masih tertinggal disana......



Sony Compact Camera
Location : Makkah Al-Mukarramah, Saudi Arabia

Friday, June 15, 2012

Kisah Raudhah

Pada hari pertama sampai di Madinah semangat tetap tinggi untuk memasuki kawasan Raudhah sungguhpun selepas 15 jam penerbangan termasuk persinggahan dan 7 jam perjalanan bas. Rasa letih tidak dirasakan tatkala melihat Masjid Nabawi tersergam indah bukan kerana kecantikan fizikalnya tetapi jasad mulia yang berada di dalamnya, ingin segera dekat dengan baginda Rasulullah SAW. Malam selepas solat isyak kami membuat rancangan sendiri untuk terus beratur untuk ke Raudhah tanpa menunggu jadual dari ketua rombongan. Ruang Raudhah hanya dibuka untuk jemaah wanita pada waktu tertentu sahaja iaitu selepas isyak, subuh dan zohor kerana ia berada di ruang solat lelaki.


Jemaah wanita dibahagikan mengikut negara seperti Malaysia dan Indonesia, Arab, Turki dan lain-lain. Maka bermulalah proses penantian dalam debaran yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Perlu kesabaran tinggi kerana bilangan jemaah sememangnya teramatlah ramai dengan keluasan Raudhah yang diberi sangatlah terhad. "Ibu...Ibu...duduk...duduk..." suara dari wanita Arab berpurdah yang kami gelar 'Security Guard' mengawal keadaan bergema di kepala setiap masa. Huhhh...jangan main-main dengan security guard ni yang amat tegas, garang, bersuara lantang namun sebenarnya lembut dan cantik......heeee...


Budaya yang berbeza antara jemaah Asia dan jemaah Arab atau Timur Tengah ini menonjol dari segi kelembutan, kesopanan dan akhlak. Pengurusan yang tidak sistematik serta sistem penggiliran yang kurang bijaksana menyebabkan beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku namun semua perlu dipandang melalui mata hati. Ada hikmah di sebalik setiap peristiwa. Terkejut dengan keadaan yang haru biru dan agak tegang ini terlintas di fikiran saya untuk terus berdoa "Ya Allah, Engkau perbaikilah keadaan ini". Raudhah yang sentiasa penuh sesak hinggakan terjadi tolak menolak, tersepak, terlangkah, terpijak, tidak mematikan semangat para muslimah untuk sentiasa mencuba untuk beribadah di Raudhah dan menziarahi maqam Rasulullah SAW. Sungguhpun tidak dapat benar-benar berada di sisi maqam kerana kawasan yang terhad untuk muslimah, ianya sudah cukup-cukup baik dapat melihat serta menghampiri dengan begitu dekat dan menitipkan salam kecintaan buat baginda. Terlalu sayu dirasakan bagaikan dapat melihat Rasulullah menjawab salam, merenung dan membelai jiwa kita melalui rahmat-Nya.....subhanallah....


Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda

"Tiada seorang pun yang memberi salam / selawat padaku, melainkan Allah mengembalikan rohku, sehingga aku dapat menjawab salam orang itu"

[HR Abu Daud]


Alhamdulillah pada hari terakhir di Madinah sebelum berangkat ke Mekah dan mula berihram, kami sempat sekali lagi ke Raudhah untuk ziarah wida'. Alhamdulillah, walaupun masih menunggu hampir 4 jam namun pengurusan sudah semakin baik. Jemaah Malaysia dan Indonesia di beri giliran terakhir kerana mereka mengakui jemaah dari Arab dan Timur Tengah agak kasar dan ingin mengasingkan mereka daripada jemaah Asia. Alhamdulillah, bila bersama-sama antara jemaah Malaysia dan Indonesia di Raudhah, keadaan lebih teratur, masing-masing penuh sabar menunggu giliran dan menghormati orang lain. Alhamdulillah, kami dapat solat sunat dan berdoa dengan tenang dan puas. Alhamdulillah doaku dimakbulkan... Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar....




Gambar : Kawasan perkarangan Masjid Nabawi sentiasa dibersihkan setiap hari. Sempat jugalah melihat payung yang menguncup pada waktu petang sebelum maghrib dan memang pemandangan yang amat cantik umpama sayap kelawar. Saya tidak dapat merakamkannya kerana tidak membawa telefon mahupun kamera setiap kali ke masjid....nanti kena rampas... :))









Gambar : Sebelah kiri adalah pintu masuk ke ruang solat muslimah. Errr...ni my all time favourite model....maintain macho dan ensem....kekekeke.....

Sony Compact Camera
Location : Masjid An-Nabawi, Madinah Munawwarah, Arab Saudi

Thursday, June 14, 2012

Cuaca atau Dosa

Pernah merasakan bahang dari unggun api semasa perkhemahan? Pernah merasakan bahang dari kuali semasa memasak? Itulah yang dirasakan tika pertama kali memijak bumi anbiya di Jeddah. Bahang matahari menggigit, mencubit, mengorek permukaan kulit...Subhanallah, begini pula panasnya di padang pasir. Walau tersentak seketika, hati mengarahkan mulut agar berdiam sahaja, nikmati sahaja ujian yang diberi. Sepanas-panas, seterik-terik matahari di Malaysia tidak setanding dengan kepanasan ini. Adakah cuaca sememangnya begini atau terasa lebih panas disebabkan dosa-dosa diri? Dan begitu panasnya terasa disini cuma secuit hembusan neraka jahannam.....wallahualam...

Baru ku benar-benar memahami dan merasakan sendiri mengapa wanita arab memakai purdah atau niqab. Selain melindungi wajah dari panas bahang matahari ianya juga berfungsi untuk mengelakkan daripada habuk dan pasir-pasir yang sentiasa berterbangan. Cuma yang kurang ku fahami mengapa warna hitam yang dipilih kerana warna hitam itu secara saintifiknya menyerap haba lalu menjadikan pakaian itu lebih panas. Apapun sudah ku uji, dan hasilnya... dua-dua pun masih tetap panassss....huhu..aduhai banyaknya dosa....

Sempat membeli purdah di Madinah dan memakai hampir setiap hari di Mekah....dengan geng sebilik...mummy, kak Sal dan Zu.... :)

Sony Compact Camera
Location : Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi

Followers

the more powerful the photo, the less it makes viewers think about photographic technique, and the more viewers tend to think of the subject matter, with technique forgotten.

Harold Davis (Photo.Net)

  © Free Blogger Templates 'Photoblog II' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP